Abu Ayyub al-Ansari ada meriwayatkan satu hadith daripada Rasulallah s.a.w. di dalam menerangkan tentang kelebihan puasa enam Syawal yang maksudnya “sesiapa yang berpuasa Ramadhan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun” ( Dikeluarkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, juga dikeluarkan oleh sekalian ramai ulama hadith seperti al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn. Majah )
Terdapat beberapa persoalan tentang perlaksanaan puasa enam Syawal
adakah terus langsung dilaksanakan selepas hari raya pertama dan dibuat
secara berturut-turut atau boleh dilakukan pada bila-bila masa
sepanjang Syawal sama ada secara berturut-turut atau sebaliknya.
Pendapat di dalam mazhab Syafie menyebut bahawa yang terlebih afdhal
di dalam perlaksanaannya ialah sejurus selepas hari raya pertama dan
dilakukan enam hari berturut-turut. Ini tidak pula bermakna, jika
seseorang itu melaksanakan secara terputus-putus (tidak berturutan)
atau dilakukan pada pertengahan atau akhir Syawal dianggap satu
kesalahan atau tidak mendapat pahala, malah semuanya diterima Allah dan
dikira sebagai satu ibadah juga. Perlu difahami bahawa yang
dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun itu bukan terletak kepada
puasa 6 hari Syawal dengan meninggalkan puasa Ramadhan, tetapi
kelebihan puasa setahun itu diperolehi setelah dilengkapkan puasa
Ramadhan dan disambung dengan puasa Syawal.
Imam al-Nawawi di dalam kitab Syarah Sahih Muslim ada menyebut kewajaran pahala diberikan seumpama puasa setahun kepada mereka yang berpuasa 6 Syawal. Merujuk kepada satu hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”.
Ini bermakna bahawa puasa sehari dalam bulan Ramadhan samalah
seperti puasa sepuluh kali, dan jika sebulan Ramadhan itu gandaan
pahalanya seumpama puasa 10 bulan kerana ianya adalah sepuluh kali
ganda. Manakala puasa sehari bulan Syawal seumpama 10 kali puasa dan 6
hari menyamai 60 hari iaitu 2 bulan. Maka jika ditambah 10 bulan dengan
2 bulan samalah seperti puasa setahun.
Antara hikmat disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal ialah sebagai
satu latihan kepada orang-orang Islam bahawa amal ibadat itu bukan
terletak pada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan bahkan amalan itu
perlu konsisten untuk sepanjang kehidupan manusia. Ia juga sebagai satu
cabaran kepada orang-orang Islam supaya tidak menjadikan Syawal itu
bulan bergembira semata-mata dan jika puasa itu dilakukan seawal mungkin
di permulaan Syawal, ini akan menjadikan seseorang manusia itu
benar-benar ingin menyahut seruan dari Allah untuk terus beribadat
secara istiqamah dan berpanjangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan