TRIPOLI, Libya – Seorang jurucakap kumpulan pemberontak yang
menguasai sebahagian besar Libya menyatakan, mereka mengetahui lokasi
persembunyian Muammar Gaddafi.
Jurucakap itu, Anis Sharif turut memberitahu semalam bahawa mereka
kini menunggu masa yang sesuai untuk menangkap atau membunuh Gaddafi.
Menurutnya, pemimpin berusia 69 tahun itu masih berada di Libya dan
dikesan dengan menggunakan khidmat risikan manusia serta teknologi
moden.
Beliau enggan mendedahkan lokasi Gaddafi sedang bersembunyi tetapi
memberitahu pemimpin Libya berkenaan kini bersembunyi di kawasan seluas
60 kilometer yang dikepung oleh pemberontak.
“Gaddafi tidak dapat keluar,” kata Anis.
Katanya, pihak pemberontak yang menubuhkan majlis tentera baharu di
Tripoli sedang melakukan persiapan untuk menahan atau membunuh Gaddafi.
Menurut Anis, mengesan lokasi persembunyian Gaddafi itu membantu pihak pemberontak untuk memerintah Libya sepenuhnya.
Sementara itu, satu konvoi bersenjata membawa beberapa pegawai yang
setia kepada Gaddafi serta beberapa lori yang sarat dengan muatan emas
dan wang tunai dilaporkan memasuki negara jiran Libya, Niger pada Isnin
lepas.
Rejim Gaddafi tumbang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu
selepas kumpulan pemberontak memasuki Tripoli yang merupakan ibu kota
Libya dan tempat persembunyiannya sebelum beliau melarikan diri.
Pergolakan di Libya itu bermula Februari lalu dengan sejumlah
penduduk berhimpun menentang kepimpinan Gaddafi di bandar Benghazi.
Peperangan kemudian meletus melibatkan tentera Gaddafi dengan kumpulan pemberontak.
Ketika ini, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) mentadbir Libya buat sementara waktu. – Agensi
Kosmo !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan