TATKALA Ramadan menjelma kebanyakan pelancong dari Timur Tengah akan pulang ke negara masing-masing kerana mengambil kesempatan bersama ahli keluarga. Tambahan pula Ramadan disambut meriah kerana pelbagai majlis keramaian diadakan di negara asal mereka.
Menyedari perkara itu, aktiviti berbentuk festival dianjurkan bagi menarik pelancong Timur Tengah untuk menyambut Ramadan di Malaysia. Ia anjuran Media Hub Connection Sdn Bhd dan dinamakan Arab Ramadan Festival (ARF).
Berlanjutan sepanjang Ogos ini, ARF berlangsung di Bandar Cahaya Digital, I-City Shah Alam yang dianugerahkan status Taman Antarabangsa oleh Kerajaan Selangor.
Pelancaran ARF disempurnakan Menteri Pelancongan Malaysia, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, pada awal sambutan Ramadan lalu.
Menariknya mengenai ARF, ia menawarkan kelainan suasana Ramadan bukan saja melalui peradaban budaya serta keunikan juadah, tetapi juga membawa objektif murni untuk menghidupkan semula semangat Ramadan menerusi pelbagai persembahan budaya Arab dan Malaysia.
Penganjur ARF, Alaa Abdulwahid, berkata, program ini memberikan satu contoh wadah tumpuan kepelbagaian warna, rasa dan kebudayaan manakala Malaysia menjadi pilihan mereka kerana mengekalkan ciri-ciri Asia yang menebal.
“Aktiviti yang diadakan antaranya khatam al-Quran pada waktu petang, persembahan nasyid dan qasidah pelajar sekolah menengah serta bacaan ayat suci al-Quran.
“Bagi pencinta seni halus, ada pelbagai barangan daripada Timur Tengah ditawarkan di gerai. Barangan itu termasuk kurma, jubah, batu permata, lukisan, bahan ukiran, aksesori wanita, juadah Arab dan banyak lagi. Saya difahamkan wanita Malaysia sekarang gemarkan fesyen jubah.
“Bagi mendapatkan keberkatan Ramadan, solat jemaah turut diimamkan jemputan dari Asia Barat sehinggalah kepada solat Aidilfitri.
“Setiap hari sepanjang Ramadan kami juga mengundang anak yatim sekitar Lembah Klang dan seluruh Malaysia untuk berbuka puasa di I-City,” katanya.
Menyerikan lagi festival berkenaan, tarian tradisi masyarakat Timur Tengah turut dipertontonkan kepada pengunjung seperti Tarian Tanoura yang cukup unik kerana dipersembahkan sekumpulan lelaki Mesir yang memakai busana unik berwarna-warni.
Tidak ketinggalan persembahan alat muzik seperti gambus dan pameran lampu gantung Fawaness yang cantik. Bagi yang mahu mencuba menaiki unta, peluang itu juga ada ARF.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan