17 Jan 2014

Nyaris ditipu lelaki menyamar 'Imam Besar Makkah'

Artikel ini disiarkan pada : 17/1/2014


Batu Pahat: Seorang ahli perniagaan nyaris kerugian RM550,000 kepada tiga lelaki Afrika termasuk seorang mengaku 'Imam Besar Makkah' yang menawarkan doa untuk menjadikannya jutawan.

Suspek berlagak alim selain berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu, dikata menjadikan masjid lokasi mencari mangsa yang dipujuk dengan kata-kata manis.


Dalam kejadian terbaru, mangsa yang mengusahakan perniagaan hartanah lebih yakin dengan taktik suspek apabila ‘Imam Besar Makkah’ itu berjaya 'mengeluarkan’ AS$100 (RM328) dan 100 Euro (RM447) di depannya sebaik suspek selesai bersolat dan membacakan doa khas kononnya mustajab.

Ahli perniagaan hanya mahu dikenali Kamil, berkata dia didatangi dua lelaki Afrika selepas menunaikan solat Asar di Masjid Beroleh, di sini dua minggu lalu, yang mendakwa mereka dalam perjalanan ke Terengganu, namun tersesat.

“Saya melukis peta mudah untuk mereka yang kemudian memuji saya sebagai saudara Islam yang baik dan amat terhutang budi. Mereka kemudian menghubungi seseorang dan mendakwa rakan itu ‘Imam Besar Makkah’ sebelum berjanji akan mengatur pertemuan saya dengan ‘imam’ itu,” katanya.

“Tiga hari kemudian, dua lelaki Afrika itu datang semula ke Batu Pahat bersama seorang lelaki berjubah dan berserban. Ketika berjumpa saya, ‘imam’ itu memaklumkan dari Senegal dan bercerita ilmu agama termasuk kisah nabi sebelum memuji saya sebagai umat Islam yang baik dan berhak mendapat pertolongan Allah,” katanya.

Kamil berkata, sebagai balasan kepada bantuannya, ‘imam’ itu berjanji menghadiahkan AS$10 juta bersama 10 juta Euro dan pada masa sama, berjaya mengeluarkan nota mata wang Amerika Syarikat (AS) dan Euro menerusi kertas berisi telur selepas menunaikan solat dan berdoa.

- BH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan