Kuala Lumpur: Pemain muda negara menghampiri suku akhir selepas mencipta kemenangan kedua Hoki Piala Dunia Remaja di New Delhi menewaskan Afrika Selatan 2-1 semalam.
Afrika Selatan bagaimanapun lebih dulu memecah kebuntuan gol menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan Mathew Brown pada minit ke-13.
Menyedari kelekaan pertahanan sekali lagi menjadi punca, barisan pemain muda negara mula meningkatkan permainan dengan hantaran lebih kemas dan pantas.
Akhirnya pada minit ke-27, mereka berjaya menjaringkan gol penyamaan menerusi gerakan cantik selain dibantu kesilapan penjaga gol Afrika Selatan, Rene De La Peyre.
Mohd Rashid Baharom melakukan pukulan dari luar kotak D, namun tanpa diancam, De La Peyre cuba menyepak keluar bola dan sebaliknya berlaku apabila bola deras masuk ke gawangnya selepas bola terkena kakinya menjadikan babak pertama berkesudahan 1-1.
Ketika babak kedua baru berusia tujuh minit, skuad negara di depan apabila penyerang berbisa Firhan Ashaari melepaskan pukulan deras dan menghasilkan gol padang yang cantik.
Pada minit ke-54, penjaga gol negara Hafizuddin Othman muncul penyelamat apabila menafikan penalti strok Brown sekali gus memberi keyakinan tinggi kepada skuad negara untuk memburu kemenangan.
Selepas itu perlawanan tambah sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas serangan, namun pemain remaja negara kental bertahan, mengekalkan kedudukan 2-1 menyebelahi Malaysia sehingga tamat perlawanan.
“Saya amat gembira kerana pemain melaksanakan tanggungjawab dengan amat baik. Selama ini mereka hanya bermain cemerlang di gelanggang sendiri tapi kini sebaliknya dan ia satu kejutan buat saya,” kata jurulatih Muhammad Dhaarma Raj.
Pada perlawanan itu juga, Firhan dipilih pemain terbaik perlawanan dan menerima anugerah yang disampaikan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Malaysia kini mengumpul enam mata, perlu sekurang-kurangnya seri pada perlawanan terakhir menentang England hari ini untuk ke suku akhir.
- mymetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan