7 Dis 2013

Lebih 38,000 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan di Pahang

Artikel ini disiarkan pada : 07/12/2013


KUANTAN: Sebanyak 117 pusat pemindahan banjir masih dibuka dengan menempatkan 38,099 mangsa daripada 10,849 keluarga di lapan daerah di Pahang yang terjejas akibat banjir pagi ini. 

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, mereka yang dipindahkan setakat jam 9 pagi ini membabitkan daerah Kuantan, Pekan, Temerloh, Jerantut, Rompin, Maran, Lipis dan Bera. 

"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 32,880 orang yang ditempatkan di 38 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. 

Katanya, di Pekan 3,464 mangsa ditempatkan di 26 pusat pemindahan, Temerloh (839 orang di 22 pusat pemindahan), Jerantut (392 orang di 10 pusat pemindahan), Maran (183 orang di lima pusat pemindahan), Rompin (172 orang di empat pusat pemindahan), Bera (116 orang di lapan pusat pemindahan) dan Lipis (53 orang di empat pusat pemindahan). 

Sementara itu, beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya Kilometer 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, Kilometer 72 Jalan Kuantan-Segamat dan Kilometer 14 Jalan Temerloh-Bahau. 


- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan