14 Ogo 2011

Sekarang atau Lupakan .


SEKARANG atau lupakan terus impian menjulang gelaran dunia. Itu yang perlu dilakukan oleh pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang berjaya melangkah ke final Kejohanan Badminton Dunia 2011 di Arena Tertutup Wembley, London semalam.
Inilah masa terbaik buat dia melakukannya atau lupakan terus gelaran dunia.
Pemain No. 1 dunia itu hanya selangkah lagi untuk merealisasikan hajatnya itu apabila mara ke final setelah menjinakkan pemain muda China, Chen Jin 21-13, 21-9 pada separuh akhir semalam.
Pada pertemuan di Arena Tertutup Wembley itu, Chong Wei jelas bukan tandingan Chen Jin apabila berjaya menafikan setiap hantaran juara bertahan itu sama ada di depan jaring atau di garisan belakang.
Lawan Chong Wei pada aksi final hari ini ialah pemenang antara seteru utamanya, iaitu Lin Dan yang juga pilihan kedua dan Peter Gade dari Denmark.
Selepas kekalahan pasangan beregu, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong di suku akhir kelmarin, Chong Wei kini satu-satunya pemain yang menggalas harapan negara di final dalam kejohanan yang sudah memasuki edisi ke-19 ini.
Kini hanya Lin Dan atau Peter Gade saja yang bakal menjadi penghalang kepadanya untuk menjulang gelaran dunia, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pemain terhebat abad ini.
Pada edisi 2009 dan 2010, Chong Wei ditunjuk jalan keluar pada peringkat suku akhir.
Dia tewas kepada Sony Dwi Kuncoro pada edisi 2009 dan disingkirkan oleh Taufik Hidayat pada edisi 2010.
Pencapaian terbaiknya pada Kejohanan Dunia ialah pada 2005 yang menyaksikannya mara ke separuh akhir, namun gagal meneruskan kemaraan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan