25 Ogo 2011

Menilai kualiti puasa pada akhir Ramadhan .


PADA hari penghujung Ramadan ini setiap Muslim sewajarnya bermuhasabah dan menilai diri terhadap ibadat puasa yang dilaksanakan. Persoalannya apakah ibadat puasa kali ini benar-benar mencapai matlamat ditetapkan Allah iaitu untuk melahirkan insan bertakwa? Apakah setiap Muslim dapat meraih darjat insan bertakwa dan akhirnya kembali kepada fitrah selepas sebulan penuh berpuasa Ramadan?

Perlu diinsafi bahawa nilai dalam ibadat puasa jika dapat digunakan dengan penuh istiqamah, ikhlas dan sabar pada bulan berikutnya, maka dia sudah melaksanakan ibadat puasa dengan sebaik-baiknya seperti diperintahkan Allah.

Dalam konteks ini, ibadat puasa adalah wahana terbaik ke arah perubahan dan reformasi secara menyeluruh dari aspek mental, jasmani dan rohani. Perubahan ini bukan hanya dapat dirasai orang perseorangan, malah sebuah keluarga, masyarakat mahupun negara secara kolektif.

Perubahan dan reformasi mental yang disasarkan oleh ibadat puasa adalah medan perjuangan bakal melahirkan peribadi cemerlang yang memiliki daya pemikiran tepat, bernas dan fleksibel dalam mendepani pelbagai cabaran dan rintangan.

Seorang Muslim yang berpuasa sudah terbentuk dalam kotak pemikirannya untuk memelihara adab berpuasa. Perkara ini penting supaya mereka tidak melakukan sesuatu yang mencacatkan kesempurnaan puasanya. Ibadat puasa juga mengajar seorang Muslim supaya bersifat jujur terhadap dirinya, di samping menginsafi pengawasan Allah terhadap segala gerak-geri dan tindak-tanduknya.

Selain itu, perubahan dan reformasi mental akan terpantul dalam konteks hubungan kemasyarakatan apabila wujudnya sifat kasih sayang, bantu membantu dan mengutamakan keperluan golongan susah dalam jiwa setiap Muslim yang berpuasa.

Dalam erti kata lain, ibadat puasa berfungsi menyatukan umat dalam naungan Islam, kembali kepada fitrah dan bersama berganding bahu memacu kegemilangan umat Islam.

Jelas bahawa ibadat puasa mengajar umat Islam pentingnya kesepaduan atau hubungan ukhuwah jitu sesama umat Islam, terutama kesedaran dalam membantu fakir miskin. Oleh itu, Islam amat menganjurkan umatnya agar memberikan sumbangan, derma, sedekah, zakat dan amalan sosial lainnya kepada golongan itu.

Dengan ini, puasa Ramadan bukan saja berupaya memantapkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan ummah sejagat, malah amalan sosial itu berperanan membebaskan umat Islam daripada kotoran jiwa berkaitan harta benda seperti tamakkan harta, kikir dan penyakit jiwa lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan