6 Sep 2013

Ku Li masih timbang peluang cabar Najib


Bekas menteri Kabinet Tengku Razaleigh Hamzah masih teragak-agak untuk membuat keputusan sama ada akan mengemukakan namanya bagi merebut jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti Oktober.


Tengku Razaleigh berkata beliau masih perlu menimbangkan sama ada Umno menginginkan beliau di jawatan tersebut, dan sama ada beliau boleh menjalankan tanggungjawab tersebut.



“Pertimbangan saya tadi sama ada saya layak sama ada saya dikehendaki sama ada saya boleh memikul tanggungjawab itu dengan berkesan dan baik,” katanya dalam satu sidang media hari ini.


Bekas naib presiden Umno itu turut menyatakan kebimbangan ke atas sistem baru yang diperkenalkan Umno dalam pemilihan kali ini.


Katanya, beliau melihat bahawa syarat baru tersebut antara lainnya "menghalang tenaga muda dalam parti".


"Jadi kalau kita nak tolak org muda (ke hadapan), (ia) tak boleh kerana dia tak pernah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa bahagian.


"Jadi ada juga syarat-syarat yang menghalang tenaga muda dalam parti," katanya, merujuk kepada syarat dalam Perkara 9.5 perlembagaan Umno.


Peruntukan itu menetapkan agar bakal calon untuk jawatan majlis tertinggi berpengalaman menjadi pemimpin di peringkat jawatankuasa bahagian dan atau pernah memegang apa-apa jawatan dalam majlis tertinggi selama satu penggal.


Ia merupakan antara tujuh pindaan dibuat terhadap perlembagaan Umno yang diluluskan perwakilan pada Oktober 2009.


Tengku Razaleigh yang popular dengan gelaran Ku Li pernah mencabar penyandang jawatan presiden, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pemilihan tahun 1987.


Ketua Umno bahagian Gua Musang itu pernah menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan tertinggi Umno itu pada tahun 2004 namun gagal mendapat 30 peratus atau 57 pencalonan untuk layak bertanding jawatan tersebut.

MK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan