“Kerajaan Malaysia hari ini gagal menjadikan Malaysia negara berkebajikan dan hidayah tetapi menjadi negara ‘jibayah’ percukaian,” kata Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri kepada Harakahdaily.
Menurutnya, tiga perbelanjaan utama isi rumah menurut satu tinjauan meningkat pada tahun 2010 iaitu pertamanya utiliti, keduanya makanan dan ketiganya minuman termasuklah juga restoran dan hotel menunjukkan peningkatan yang ketara sebanyak dua digit.
Contohnya, kata beliau perbelanjaan isi rumah terhadap utiliti meningkat sebanyak 15.1%, manakala perbelanjaan terhadap makanan dan minuman tidak beralkohol meningkat sebanyak 13%.
Katanya lagi, pProgram rasionalisasi subsidi yang dilancarkan oleh Perdana Menteri hakikatnya tidak releven dengan perkembangan sosio ekonomi semasa.
“Daripada pemerhatian kesan rasionalisasi subsidi ini, golongan menengah yang menetap di kawasan bandar adalah mereka yang menerima tekanan kuat perubahan ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Tambahan pula, kata beliau ia akan menunjukkan korelasi positif terhadap peningkatan kadar kemiskinan dan jenayah.
Sebagai contoh, jelasnya laporan KPMG Malaysia Fraud, Bribery and Corruption Survey 2013 menunjukkan faktor jenayah tersebut yang dilakukan majoriti golongan belia adalah disebabkan oleh tabiat buruk dan tekanan kewangan peribadi
“Bagaimana pula sekiranya pelaksanaan GST yang bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan zalim tetap akan berlaku pada tahun 2015?” tanya beliau.
Tentu sahaja, katanya rakyat akan terus terhimpit dalam krisis peningkatan kos hidup yang tidak dapat dibayangkan.
“Isu ini disokong dengan unjuran yang dilakukan oleh beberapa institusi penyelidikan komersial baru-baru ini seperti Standard Chartered Bank yang meramalkan kadar inflasi akan meningkat sehingga 3.4% bagi tempoh sembilan bulan pertama 2014,” katanya.
Justeru, tanya beliau bagaimana pada 2015 nanti.
Beliau menambah, bidang keberhasilan utama negara ‘menangani kos sara hidup’ tidak menyinggung secara efektif pemasalahan utama itu.
Apa yang lebih membimbangkan, kata beliau campur tangan kerajaan secara langsung dalam aktiviti bisnes peruncitan seperti mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Kedai Buku 1Malaysia (KB1M) dan Kedai Kain 1Malaysia (KK1M) akan menggugat pengusaha industri kecil dan sederhana.
Tambahnya, walaupun ia dilihat mungkin berkesan, namun dijangka penyelesaian itu terlalu simplistik dan tidak berjangka panjang.
Menurutnya lagi, rakyat masih menunggu dalam tempoh terdekat, apakah langkah drastik yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk meringankan beban isi rumah selain daripada tindakan populis mengumumkan 11 langkah penjimatan perbelanjaan sektor kerajaan.
“Selagi mana pemasalahan utama tidak diselesaikan, apa jua solusi yang dikemukakan hanya kosmetik dan tidak efektif,” ujarnya.
- Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan