17 Jan 2014

Ambil masa 5 jam keluarkan gajah jantan liar

Artikel ini disiarkan pada : 17/1/2014


HULU BESUT - Pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengambil masa lima jam menjinakkan seekor gajah liar jantan untuk dipindahkan ke kawasan Sungai Ketiar, Hulu Terengganu semalam.

Operasi memindahkan gajah itu yang bermula 9 pagi dilakukan dengan bantuan dua ekor gajah betina “Kala” dan “Rambai” dari Unit Konservasi Gajah Kebangsaan (UKGK) Kuala Gandah, Pahang.

Gajah liar jantan bergading yang beratnya kira-kira 3 tan itu ditangkap Khamis minggu lepas di hutan Kampung Keruak di sini kerana dikatakan memusnahkan tanaman sawit penduduk di kawasan ladang hutan simpan berkenaan bersama-sama empat hingga lima ekor lagi gajah liar.

Pengarah Perhilitan Terengganu Yusoff Sharif memberitahu operasi itu terpaksa mengambil masa yang lama kerana gajah jantan liar itu terpaksa ditarik sejauh 1 kilometer ke tempat lori diletakkan untuk membawanya keluar.

Katanya gajah jantan yang mempunyai lilitan kaki 34 sentimeter itu bagaimanapun berjaya dikawal dengan bantuan “Kala” dan “Rambai”.

Beliau berkata tinjauan pihaknya mendapati kawanan empat hingga lima ekor jantan liar berkenaan dikesan berada di kawasan hutan Manik Urai, Kelantan.

 - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan