Sudah menjadi kebiasaan, bahkan tanggungjawab, kepada ahli politik untuk menerima undangan NGO ke sesebuah acara, menyerahkan cek besar, memberi ucapan ringkas atau bergambar sambil menggunting reben pelancaran.
Tetapi kontroversi melibatkan tiga pemimpin kanan BN baru-baru ini yang hadir dalam majlis yang dikaitkan dengan kumpulan kongsi gelap menimbulkan persoalan sama ada ahli politik patut lebih berhati-hati menerima undangan.
Pada Isnin, laporan polis dibuat ekoran penyebaran sepucuk surat di Internet, mendakwa tiga pemimpin BN terlibat dalam majlis "Geng 36" melibatkan 6,000 peserta di Seri Kembangan, Selangor pada 3 Disember lalu.
Laporan itu dibuat oleh anggota NGO bergelar Tamilar Action Force S Muralis. Malaysiakini kemudiannya difahamkan bahawa beliau juga timbalan ketua cabang PKR Puchong.
Dua pemimpin yang dinamakan daripada MIC, iaitu Dr S Subramaniam (timbalan presiden) dan T Mohan (ketua Pemuda).
Seorang lagi nama pemimpin Umno tidak disebut buat masa ini sementara menunggu ulasan daripadanya.
Tiada rekod pendaftaran
Pada Isnin, Mohan mengaku hadir ke acara itu tetapi menjelaskan tidak tahu menahu sama ada ia berkaitan kumpulan kongsi gelap. Sebaliknya, beliau mendapat tahu ia dianjurkan oleh "Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang".
Pada hari berikutnya, Subramaniam juga mengesahkan kehadirannya dan mengaku tidak tahu banyak mengenai penganjur melainkan ia sebuah badan berdaftar.
Bagaimanapun, katanya, beliau melihat laptop diedarkan kepada kanak-kanak dan wang diberikan kepada golongan miskin dalam majlis itu.
Semakan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Selangor dan di ibu pejabatnya di Putrajaya mendapati tiada rekod pendaftaran untuk "Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang".
Nama terdekat ditemui, "Kelab Rekreasi Kajang Selangor Baru" yang didaftarkan pada 1999. Bagaimanapun rekod pendaftarannya tidak lengkap dan tanpa nombor telefon untuk dihubungi.
Seorang pegawai The Mines, tempat majlis itu diadakan, yang enggan namanya disebut berkata, terdapat kumpulan dikenali sebagai "Kelab Rekeasi Kajang" menempah sebuah dewan untuk acara "majlis makan malam Deepavali".
'Saya urus, mereka bayar pada hotel'
Ini menjadi bertambah pelik apabila pada tahun lepas Deepavali sudah disambut lebih sebulan daripada tarikh tempatan itu, iaitu 26 Oktober.
Sebagai tambahan, pegawai itu juga berkata, untuk mengundang 6,000 tetamu, tiga dewan diperlukan dengan kos sebanyak RM100,000 - jumlah yang besar untuk sebuah "kelab rekreasi".
Pegawai itu tidak dapat memberikan maklumat perhubungan penganjur tetapi memperkenalkan Malaysiakini kepada seorang lelaki dikenali sebagai "Mr Parthiban" daripada syarikat pengurusan acara "Extreme Zone"
Ketika dihubungi, "Mr Parthiban" mengesakan bahawa acara itu dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kajang dan disertai ribuan orang.
Katanya, ini kali pertama beliau bekerja dengan kumpulan itu dan tidak dapat memberikan nombor telefon untuk dihubungi.
Ditanya berhubung dakwaan acara itu mempunyai kaitan dengan pertubuhan kongsi gelap, Parthiban berkata:
"Saya tidak rasa begitu. Semua orang pakai pakaian tradisional India. Saya uruskan tempat dan makanan. Mereka bayar terus pada hotel. Saya tidak tahu selain daripada itu," tambahnya.
MK .
Tiada ulasan:
Catat Ulasan