19 Dis 2013

Bayern melangkah ke final Piala Kelab Dunia

Artikel ini disiarkan pada : 19/12/2013


AGADIR, Maghribi - Juara Eropah, Bayern Munich melangkah ke final Piala Kelab Dunia selepas melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas juara Asia, Guangzhou Evergrande pada separuh akhir di sini, semalam.

Jaringan menerusi pemain sayap Perancis, Franck Ribery, Mario Mandzukic dan Mario Goetze membolehkan gergasi bola sepak Jerman itu menempah tiket ke perlawanan akhir yang akan diadakan di Marrakech, Sabtu ini.

"Kami mendominasi perlawanan sepenuhnya dan kami memang mahu melayakkan diri ke perlawanan akhir.

"Kami datang dengan misi mencari gelaran, itu tugas kami di sini," kata ketua pasukan Bayern, Philipp Lahm.

Ribery juga menegaskan, Bayern tidak datang ke utara Afrika semata-mata untuk melihat pemandangan.

"Kami berada dalam perlawanan akhir. Kami adalah pemain professional, kami mahu kemenangan di Maghribi," tegasnya.

Bayern akan berdepan pemenang di antara gergasi bola sepak Maghribi, Raja Casablanca dan kelab Brazil, Atletico Mineiro, yang berentap dalam satu lagi separuh akhir.

Sudahpun merangkul dua gelaran Piala Kelab Dunia bersama bekas pasukannya, Barcelona, usaha jurulatih Bayern, Pep Guardiola untuk memburu kejuaraan ketiga tidak menghadapi banyak masalah apabila mudah mengetepikan Guangzhou yang dibimbing oleh Marcello Lippi.

Selepas muncul kelab Jerman pertama merangkul kejuaraan treble, Eropah, Bundesliga dan piala domestik, Bayern mencari trofi kelima untuk diletakkan dalam koleksi selepas turut muncul juara Piala Super UEFA, menumpaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti, Ogos lalu. 


- AFP




Tiada ulasan:

Catat Ulasan