Lupakan sebentar halwa telinga anda dengan muzik hip hop dan R&B, mari kita alihkan tumpuan kepada muzik nasyid yang dinyanyikan oleh penyanyi yang berasal dari Lubnan, Maher Zain.
Pasti ada yang tertanya-tanya siapakah penyanyi nasyid ini dan tak kurang juga yang sudah mula menyukai lagu-lagu Maher Zain ini tapi percaya atau tidak namanya sudah popular dan dikenali di beberapa negara Eropah dan Timur Tengah sejak album pertamanya, Thank You Allah laris terjual hampir seluruh negara.
Bagi mempromosikan album pertamanya itu buat peminat-peminat di Malaysia, Maher Zain akan turut mengadakan showcase sulungnya di negara ini. Showcase yang dinamakan sebagai Save the Soul yang dianjurkan oleh rumah perlindungan wanita, Raudatul Sakinah itu bakal berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada 14 dan 15 Oktober 2010.
Showcase yang bakal diadakan itu bukan sahaja bertujuan untuk mempromosikan album sulungnya yang mengandungi 14 buah lagu dakwah, namun ia juga merupakan satu usaha untuk mendapatkan kutipan amal buat penghuni rumah Raudatul Sakinah.
Maher yang ditemui dalam sidang media bersama media di Mega View, Menara Kuala Lumpur semalam berkata, showcase itu diadakan sebagai satu penghargaan buat peminatnya di Malaysia yang selama ini menyokong kehadiran album pertamanya, Thank You Allah. Lebih-lebih lagi selepas mengetahui ianya telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di kalangan penduduk di sini.
"Showcase ini merupakan langkah pertama saya untuk dekat dan bertemu dengan peminat di Malaysia sebab itu untuk permulaan ini saya hanya mengadakan konsert kecil-kecilan sahaja. Apa yang boleh saya katakan, showcase sera mini konsert yang diadakan ini hanya merupakan sebuah pemberian kecil buat peminat saya di Malaysia.
"Oleh itu pada showcase yang bakal berlangsung selam 2 hari sahaja ini, saya hanya akan mempersembahkan lapan buah lagu hits dari album saya," katanya yang dibesarkan di Sweden sejak umur lapan tahun lagi.
Menurut Maher Zain lagi, kunjungan pertamanya ke Malaysia ini memang saat yang dinanti-nantikannya serta isterinya .
"Saya sukakan Malaysia. Semua orang-orang di Malasyia juga terlalu baik dengan saya dan Malaysia sebuah negara Islam yang sangat aman.
"Malah, saya juga membawa isteri saya bersama untuk bercuti di Malaysia ini kerana kami dapat rasakan Malaysia sebuah tempat yang cantik dan aman untuk kami kunjungi," katanya yang bakal menghabiskan masa selama dua minggu bersama isterinya di negara ini.
Menyingkap sejarah silam Maher, dia memberitahu album sulungnya ini merupakan satu penghijrahan besar buatnya kerana dia mengakui sebelum ini bukanlah seorang muslim yang patuh pada agama malah sebaliknya.
"Pada tiga tahun yang lalu saya seorang yang ingkar pada tuhan dan terlalu jauh dengan Allah kerana kehidupan saya sebelum ini sangat terpesong dan menjalani kehidupan sosial yang sangat bebas apabila sering mengunjungi kelab malam dan sebagainya.
"Bayangkan disebabkan kealpaan saya itu saya telah lupa untuk membaca surah Al-Fatihah. Sehinggalah ketika saya berkunjung ke New York, tiba-tiba saya rasakan hidup saya kosong dan saya mula sedar dan insaf. Saya berpeluang berubah dan mencari rakan baru yang gemar bersembahyang dan pergi ke Masjid.
"Dalam masa yang sama,saya tetap tidak boleh tinggalkan minta saya pada muzik dan saya telah gunakan muzik sebagai salah satu medium untuk menyampaikan mesej-mesej berguna kepada orang lain supaya tidak terpesong seperti mana yang pernah saya alami sebelum ini," katanya dengan penuh keinsafan.
Sementara itu menurut pengerusi rumah Raudatul Sakinah tujuan utama dia membawa penyanyi Lubnan itu adalah untuk berkempen dan berdakwah supaya setiap orang dapat menyelamatkan satu nyawa anak-anak yang tidak bersalah.
"Sekarang ini semakin meningkat kes pembuangan dan pembunuhan bayi di kalangan remaja. Kami tidak mahu perkara ini terus berlaku. Rumah Raudatul Sakinah sebuah tempat di mana bayi-bayi ini dapat diselamatkan.
"Rumah perlindungan wanita ini bukan untuk kami menyokong remaja perempuan yang sudah terlanjur malah hanya untuk membimbing dan melindungi bayi yang tidak bersalah.
"Saya harap dengan kempen Save the Soul yang kami bawa bersama penyanyi dakwah Maher Zain ini mesej-mesej berguna dapat disampaikan dan sekaligus mengurangkan kes pembuangan bayi di Malaysia,"tegasnya.
Showcae Save the Soulini juga telah mengundang beberapa penyanyi tempatan seperti Aishah dan kumpulan nasyid inteam untuk sama-sama berdakwah serta menjalankan kempen Save the Soul.
Murai . com

Tiada ulasan:
Catat Ulasan