9 Ogo 2011

Hukum hiburan .


SOALAN
Apakah pandangan islam berhubung hiburan, nyanyian dan alat-alat muzik? 

JAWAPAN:

Hiburan sama ada dalam bentuk bunyi-bunyian, muzik dan nyanyian adalah sebahagian daripada budaya hidup
manusia. Setiap bangsa mempunyai seni suara tersendiri. Walau bagaimanapun, syaitan sering kali mempergunakan
hiburan untuk menyesatkan manusia. Contohnya, Allah berfirman dalam surah Lokman ayat ke 6, “Dan di antara
manusia (ada) yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari agama Allah
tanpa pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai ejekan. Mereka berhak menerima azab yang hina.”
Sebahagian ulama tafsir berpendapat bahawa “laghwa al-hadith” yang terdapat dalam ayat ini bermaksud
nyanyian. 

Apa yang dapat difahami dari ayat ini ialah Allah mengutuk sebarang perkataan (termasuk nyanyian) yang digunakan
untuk menyesatkan manusia daripada agama-Nya.
Secara dasarnya hiburan termasuk nyanyian memang diizinkan oleh Islam melainkan jika ia membawa kepada kelalaian
dan kemaksiatan. Antara hadis yang menjadi asas perbincangan berhubung perkara ini ialah sabda nabi yang
bermaksud, “Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana.” (Riwayat Tirmizi)
Sejarah Islam juga menceritakan bagaimana gendang digunakan untuk menaikkan semangat pejuang Islam apabila
berada dalam peperangan. Daripada hadis dan sejarah ini jelaslah hiburan, seumpama nyanyian dan bunyi-bunyian,
boleh diadakan dalam majlis perkahwinan. Begitu juga pada hari perayaan dan kebesaran Islam serta dalam
peperangan. 

Beberapa Fatwa

Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat. Selain itu, ada pula
yang haram. Nyanyian yang haram adalah disebabkan oleh lima perkara iaitu yang berkaitan dengan penyanyi, alat
muzik yang digunakan, susunan kata atau lirik, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar itu sendiri.
Pendapat ini boleh dikiaskan kepada hiburan secara umumnya.
Syeikh Mahmud Syaltut, bekas Sheikh Al-Azhar (dalam al-Fatawa, Darul Syuruq, Kaherah, 1960), berpendapat bahawa
mendengar suara indah dan merdu sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau kecenderungan untuk
mempelajari sesuatu daripadanya adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak
melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan
kedudukannya, maka ia diharuskan. 

Fatwa yang lebih kurang sama juga dinyatakan oleh Prof. Dr. Yusuf Qardawi dalam Fatawa Mu’asirat. Beliauberkata, “Setelah kami mengkaji dan pertimbangkan kesemua pendapat, dengan penuh keyakinan kami
memfatwakan bahawa nyanyian itu sendiri hukumnya adalah halal kerana berbalik kepada (kaedah syarak) yang
menegaskan kesemua perkara (duniawi) pada asalnya adalah halal kecuali terdapat nas-nas yang sahih yang
mengatakan ia adalah haram... Hadis-hadis yang digunakan oleh mereka yang mengharamkannya dipenuhi dengan
pelbagai kelemahan”. 

Sebab Hiburan Diharamkan

Beliau kemudiannya menggariskan beberapa sebab yang menjadikan sesuatu bentuk hiburan / nyanyian itu haram.
Antaranya ialah penggunaan lirik yang tidak sesuai seperti penggunaan lirik yang lucah. Kadangkala liriknya adalah baik
tetapi cara seseorang artis membawa lagu itu menjadikannya haram, sebagai contoh, artis wanita yang menyampaikan
persembahannya dengan cara yang menggiurkan serta mendedahkan aurat. Demikian juga jika sesuatu persembahan
melalaikan manusia dari melaksanakan kewajipan agama, atau majlis itu disertai minuman haram dan percampuran
bebas antara lelaki dan perempuan, atau mempunyai unsur-unsur perjudian (pertaruhan) serta pembaziran, maka ketika 
itu ia dihukum sebagai haram. 

Hukum Alat Muzik

Berhubung dengan penggunaan alat-alat muzik, ulama berbeza pendapat tentangnya, ada yang menghukumkan
sebagai harus dan ada yang mengharamkannya. Antara ulama yang mengharuskannya ialah Imam al-Ghazali (dalam
Ihya Ulumuddin bab as-Sima’) selagi mana dasar-dasar syariat tidak dilanggar, seperti yang dinyatakan sebelum
ini.
Ulama yang mengharamkan penggunaan alat-alat muzik menggunakan beberapa dalil dan antara dalil yang popular
digunakan ialah sabda nabi yang terdapat dalam Sahih Bukhari yang bermaksud, “Akan terdapat dari kalangan
umatku yang memandang halal perbuatan seks bebas, pemakaian sutera (oleh lelaki) dan penggunaan alat-alat
muzik”.
Ramai ulama melemahkan hadis ini disebabkan salah seorang perawinya, iaitu, Hisham Ibn ‘Ammar, dianggap
lemah oleh ulama hadis. Hadis ini juga mempunyai kelemahan di sudut salur galur sanadnya. Sanadnya dianggap
bersimpang siur (muttharib) dan terputus (mu'allaq). Antara pengkritik hadis yg berpendapat demikian ialah Imam
Ahmad, Abu Daud, Ibn Hazm, Abu Hatim, al-Hafiz az-Zahabi dan al-Hafiz Ibn Hajar Asqalani.
Walau bagaimanapun, jika hadis ini diterima, ia boleh membawa maksud bahawa yang diharamkan ialah penggunaan
alat-alat muzik secara yang melampaui batas sehingga melanggar batas-batas syariat. Hal ini dinyatakan oleh al-Qadi
Abu Bakr Ibn al-‘Arabi. Malah dalam kitab al-Ahkam beliau berkata, “Tidak terdapat sebarang hadis yang
sahih yang mengharamkan nyanyian secara jelas”.
Berhubung tentang perkara yang sama, Imam Shawkani dalam kitab Nailul Authar berkata, “Golongan Madinah
dan mereka yang bersetuju dengan mereka ini dari kalangan Zahiriyah dan Sufi mengharuskan nyanyian walaupun
dengan menggunakan alat-alat muzik seperti kecapi dan serunai. Abu Mansur al-Bughdadi asy-Syafie meriwayatkan
bahawa Abdullah ibn Jaafar tidak mengharamkan nyanyian malah beliau pernah mengarang lagu-lagu untuk
dinyanyikan oleh hamba-hambanya. Hal ini berlaku di era khalifah Ali bin Abi Talib...”


Oleh Dr. Danial bin Zainal Abidin (M.B.Ch.B., Alexandria) 


Rujukan : Fatawa Qardhawi, Dr Yusuf al-Qaradhawi, Albaz Publishing & Distribution Sdn Bhd, 1997. 

 - 

Fatwa Islam Online: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-EnglishAsk_Scholar/FatwaE/FatwaE&cid=1119503544202  

 - 

Ihya Ulumuddin, Al-Ghazali, Pustaka Nasional, Singapore, 1981. 


Kredit: Mindasuper.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan